Thu. Apr 25th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Nasib Industri Pelancongan Di Hujung Tanduk

2 min read

Sambutan Perayaan & Acara Besar Patut Ditunda Bagi Membendung Penularan Varian Omicron Covid-19

Sambutan Thaipusam

KUALA LUMPUR,12 JAN 2022 : Majlis Pelancongan Malaysia menggesa semua pihak meningkatkan lagi usaha dalam membendung penularan varian baru Covid-19 Omicron yang kini melanda seluruh dunia.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis berkata, semua pihak tidak kiramasyarakat, penggiat industri pelancongan mahupun kerajaan harus mempertingkatkan kerjasama bagi mencari pendekatan yang terbaik dalam menghadapi gelombang baru pandemik ini.

“Penularan varian Omicron Covid-19 ini amat membimbangkan kita khususnya buat sektor pelancongan yang kini dalam proses pemulihan. Justeru kita tidak seharusnya lalai walaupun sekelip mata kerana kita tidak mahu sektor pelancongan ini akan ditutup semula sekiranya kes-kes baru semakin meningkat dan mengancam keselamatan rakyat,” kata Uzaidi.

Menurutnya lagi, sambutan perayaan dan acara yang akan berlangsung pada waktu yang terdekat ini seperti Thaipusam, Tahun Baru Cina dan sebagainya harus berikan perhatian yang serius agar ia tidak menjadi pencetus kepada kluster-kluster baru Covid-19.

Beliau menyarankan agar sambutan acara atau perayaan yang melibatkan perkumpulan yang ramai dapat ditangguhkan buat sementara waktu atau perlaksanaan protokol SOP yang diperketatkan.

“Kita harap semua pihak dapat memainkan peranan bersama-sama dalam menghentikan penularan pendemik ini. Dalam masa yang sama pihak penguatkuasa harus meningkatkan lagi pemantauan dengan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi atau melanggar SOP yang telah ditetapkan,” katanya lagi. 

Beliau turut berharap agar Kerajaan tidak akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh kerana tindakan ini akan menyebabkan industri pelancongan lumpuh sepenuhnya.

Bagi menyahut seruan kerajaan dalam melaksanakan pelan pemulihan pelancongan ini, pihak Majlis Pelancongan Malaysia bersedia berganding bahu dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya dalam memastikan semua penggiat industri pelancongan yang terjejas sama-sama mendapat manfaat daripada pelan tersebut.

Dalam masa yang sama Majlis Pelancongan Malaysia berharap satu mekanisma atau garis panduan aktiviti pelancongan dapat diumumkan pada kadar segera bagi memastikan tidak timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam situasi sekarang.

Masyarakat juga harus sentiasa diingatkan untuk mempraktikkan SOP ketat bagi memastikan  pencegahan penularan jangkitan dan mereka akan berasa selamat apabila berkunjung ke negara ini.

Industri pelancongan merupakan antara industri yang paling awal terjejas yang melibatkan hampir 4 juta orang di negara ini dan  dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat pandemik COVID-19.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *