Fri. Jan 22nd, 2021

Santai Travel Channel

“NAK BERCUTI? PUSING SELANGOR DULU!”

3 min read

SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor menerusi Tourism Selangor selaku Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri meneruskan langkah proaktif ke arah merancakkan industri pelancongan Negeri Selangor dengan pelaksanaan Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!”

Kempen ini mula diwar-warkan melalui landasan digital bermula pada 10 Jun yang lalu, susulan pengumuman pembukaan semula sektor pelancongan domestik Negara oleh pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) sempena penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Umum mengetahui, industri pelancongan merupakan antara yang paling terjejas ekoran impak dari pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Sebahagian operator pelancongan perlu menutup operasi atau beroperasi tanpa keuntungan dan golongan yang bergantung pada industri pelancongan pula terjejas pendapatan, malah ada yang hilang mata pencarian.

Memahami situasi ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menjadi pendahulu dalam pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi dan juga Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor 2020 yang telah diumumkan oleh YAB. Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor pada 13 Julai lalu. Antara yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor 2020 adalah Pakej Bantuan Sektor Pelancongan dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM 2,600,000.00.

Sebanyak RM 553,000.00 dari jumlah ini merangkumi pemberian insentif khas bersasar secara one-off sebanyak RM 1,000 seorang, di mana Kerajaan Negeri Selangor pada 19 November lalu telah secara rasmi mengagihkan insentif khas ini kepada seramai 553 orang penerima merangkumi 486 pemandu pelancong berlesen dan berdaftar dengan Selangor Tourist Guide Association (SGTA), 16 pengusaha rumah inap atau homestay yang diperakui oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), serta 51 Hos Komuniti Selangor.

Pakej Bantuan Sektor Pelancongan ini turut merangkumi penerbitan subsidi “Baucar Pelancongan Negeri Selangor” dengan nilai peruntukan sebanyak RM 2,000,000.00. Baucar Pelancongan Negeri Selangor ini telah secara rasmi diaktifkan di Majlis Pelancaran Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu” di Shah Alam pada Khamis.

Majlis yang hanya dihadiri oleh pihak Media ini telah disempurnakan oleh YAB. Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, dengan diiringi oleh YB. Tuan Hee Loy Sian, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, serta Hal Ehwal Orang Asli Negeri Selangor, dan Tuan Azrul Shah bin Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor.

Penggunaan baucar ini adalah dalam bentuk pengembalian mata nilai dompet elektronik dan baucar eletronik sebanyak RM 200.00 seorang untuk penerima yang layak. Baucar ini perlu digunakan bagi pakej-pakej pelancongan terpilih yang akan melalui penyenaraian di aplikasi dompet elektronik Touch n’ Go E-Wallet dan aplikasi ‘marketplace’ Lazada Malaysia melalui capaian khas pautan sesawang mikro ‘Kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’.

Penebusan subsidi baucar pelancongan ini akan membuka promosi jualan di kedua-dua landasan e-dagang tersebut bermula pada 8 hingga 31 Januari 2021 dengan tempoh sah- laku bagi pakej yang telah dibeli sehingga 31 Jun 2021. Satu penghormatan kepada barisan hadapan Negara, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan kuota penerima baucar pelancongan ini khusus untuk 3,000 orang frontliners yang bertugas di Negeri Selangor dalam usaha memerangi impak pandemik Covid-19.

Pada majlis yang sama, Tourism Selangor telah memperkenalkan Duta Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu”, Che Puan Juliana Evans yang telah dilantik untuk tempoh dua tahun bagi mempromosikan inisiatif Kempen ini serta tampat-tempat pelancongan menarik di Negeri Selangor menerusi landasan media sosial. Pelantikan ini adalah seiring dengan visi Tourism Selangor untuk mendekati audiens dengan lebih luas dengan alternatif yang lebih “segar” dan terkini menerusi landasan digital.

Sebanyak 17 pakej pelancongan “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu” usahasama antara pihak Tourism Selangor dan Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) turut dilancarkan pada Majlis sama. Usahasama ini melibatkan penyelarasan dan tawaran pakej- pakej pelancongan untuk di pasarkan melalui agensi-agensi pelancongan yang berdaftar dengan pihak MITA.

Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” disokong oleh tunjang utama, landasan digital menerusi pelbagai inisiatif promosi seperti penganjuran program Selangor e-Travel Fair, kempen media sosial bersama para Key Opinion Leaders (KOLs), serta pengiklanan digital dan atas talian. Medium pengiklanan turut diperluas merangkumi pengiklanan billboard pegun, billboard digital serta unipoles di beberapa buah lokasi tumpuan di seluruh Negara.

Selain itu, Tourism Selangor akan menganjurkan Program Jelajah Pesona Selangor ke Negeri-negeri di Malaysia serta pelbagai Acara Pelancongan berdasarkan norma baharu yang menekankan SOPs (Standard Operating Procedures) mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor agar Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” dapat memberikan impak yang signifikan ke arah membangunkan semula industri pelancongan domestik Negara, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor.

Facebooktwitterredditpinterestmail
Facebooktwitteryoutubeinstagram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.