Wed. Apr 24th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Masa Untuk Melakukan Anjakan Paradigma Dalam Industri Pelancongan

3 min read


SEJAK pandemik COVID-19 melanda, sektor pelancongan antara paling awal dan teruk terjejas. Lebih membimbangkan, peningkatan mendadak kes baharu, membayangkan industri pelancongan semakin parah dan menanti masa untuk rebah.

Sudah lebih 15 bulan industri pelancongan negara dilanda derita. Walaupun penghujung tahun lalu sudah nampak sedikit sinar apabila sektor pelancongan domestik kian rancak, ia cuma seketika. Akibatnya negara kerugian lebih RM100 bilion hasil sektor pelancongan disasarkan pada 2020.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan sebelum ini, sedikit sebanyak memberikan harapan baharu buat industri ini. Namun, baru beberapa bulan dilaksanakan, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sebagai usaha membendung COVID-19. Nampaknya harapan sektor pelancongan menikmati cahaya di hujung terowong masih jauh dan samar.

Umpama ditelan mati emak, diluah mati bapa, sektor yang sebelum ini pernah menjadi antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan lebih RM86.14 bilion sepanjang 2019 kian sepi.

Industri ini juga satu ketika dahulu menyediakan lebih 4 juta peluang pekerjaan untuk rakyat, iaitu 24 peratus daripada jumlah pekerjaan di negara ini.

Dengan pengumuman PKP 3.0, industri pelancongan hampir 100 peratus lumpuh. Tidak ada pertumbuhan apabila pergerakan antara negeri dan antarabangsa ditutup.

Dilaporkan beberapa destinasi popular seperti Langkawi menjadi seperti ‘pulau hantu’ tanpa pelancong dan mengalami kerugian besar.

Pelbagai usaha serta inisiatif dijalankan sama ada pada peringkat kerajaan dan agensinya, swasta serta penggiat industri pelancongan. Namun, ia belum cukup untuk melestarikan sektor ini.

Kerajaan sebelum ini menyediakan pelbagai prasarana bagi menyokong industri pelancongan negara dan pelbagai agensi juga diwujudkan bagi memperkasakannya.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memperkenalkan pelbagai inisiatif, termasuk peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta dalam Pelan Pemulihan Pelancongan 2021, seperti baucar penginapan, diskaun destinasi pelancongan, potongan pakej perjalanan keluarga dan kempen Meet in Malaysia.

Kerajaan juga melancarkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion, termasuk lanjutan moratorium pinjaman daripada bank dan geran RM500 untuk 14,000 pemandu pelancong.

Juga, potongan harga elektrik sebanyak 10 peratus dari Januari hingga Mac lalu untuk enam sektor perniagaan termasuk pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan dan agensi pelancongan.

Meskipun kerajaan merancang pelbagai strategi dengan peruntukan lebih RM200 juta menerusi Pelan Stimulus Pelancongan, ia belum cukup memberikan nafas lega kepada penggiat industri pelancongan.

Antara tuntutan baharu diajukan kepada kerajaan ialah moratorium pinjaman automatik dengan faedah sifar untuk semua pinjaman hingga 31 Disember ini.

Situasi ketika ini jelas mendesak kerajaan melakukan anjakan paradigma dalam tatacara mengurus sektor pelancongan ini secara bijaksana, sekali gus memberi harapan baharu kepada segenap penggiat industri pelancongan.

Sektor pelancongan harus diurus bijaksana bagi memberikan impak positif dalam apa juga situasi. Kita belum boleh menjangkakan bilakah pintu sempadan akan dibuka dan sektor pelancongan boleh beroperasi sepenuhnya.

Bagi memastikan sektor pelancongan terus relevan dalam menyumbang pendapatan ekonomi negara, beberapa tindakan segera perlu dilaksanakan tanpa mengabaikan soal keselamatan dan pandemik COVID-19.

Bagi peringkat permulaan, kerajaan perlu lebih proaktif mencari pendekatan terbaik bagi memastikan nasib pengusaha atau penggiat industri pelancongan terus terbela serta mendapat perhatian sewajarnya.

Kita sudah tidak mempunyai banyak masa untuk tunggu dan lihat lagi. Persatuan dan pertubuhan berkaitan sektor pelancongan perlu tampil segera dengan idea dan usaha.

Pertelingkahan atau perbezaan pendapat dalam kalangan penggiat industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun agensi berkaitan pelancongan harus dikesampingkan.

Sikap menuding jari dan mementingkan diri perlu disingkirkan kerana ia mungkin akan menjadi virus berbahaya dalam memusnahkan industri pelancongan negara.

Kita memiliki ramai bijak pandai dan tokoh berwibawa dalam pelancongan. Inilah masanya kita bersatu mencari penyelesaian terbaik dalam mengharungi detik sukar ini.

Sektor pelancongan masih mempunyai masa depan cerah jika semua berganding bahu dan bersemangat meneruskan perjuangan membina industri pelancongan.

Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing secara sempurna, industri pelancongan negara mampu pulih dengan cepat dan kembali menjadi penyumbang utama ekonomi negara.

oleh | AZLIE HALIM

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *