Tue. Apr 30th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

MALAYSIA MUDAHKAN KEMUDAHAN VISA ON ARRIVAL (VOA) UNTUK KEMASUKAN PELANCONG DARI CHINA & INDIA

3 min read

KUALA LUMPUR : Syarat-syarat baharu kemudahan Visa On Arrival (VOA) telah berkuatkuasa mulai 15 Oktober 2023. Dalam fasa permulaan, ia hanya melibatkan penerbangan sewa khas (charted flight), dan prosedur permohonan telah dipermudahkan. Pelancong boleh menghantar maklumat peribadi mereka melalui sistem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum tiba di Malaysia untuk mendapatkan kemudahan VOA ini.
Namun, Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menegaskan bahawa MOTAC akan terus berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperluaskan skop kemudahan VOA ini. Matlamatnya adalah untuk membolehkan pelancong yang tidak menggunakan penerbangan sewa khas juga dapat menikmati kemudahan VOA, supaya proses kemasukan pelancong antarabangsa lebih lancar. YB Menteri berharap pihak KDN boleh mengumumkan lebih banyak penambahbaikan kemudahan pada bulan Januari tahun depan.

Sebelum ini, MOTAC telah bekerjasama dengan JIM untuk mempermudahkan kemasukan pelawat serta pelabur dari China dan India ke Malaysia.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen, YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia akan memperkenalkan inisiatif baharu di bawah “Pelan Liberalisasi Visa Malaysia”, termasuk menambah baik kemudahan VOA, Pas Lawatan Sosial dan lain-lain.

Asalnya, kemudahan VOA hanya tersedia untuk warganegara China dan India yang masuk ke Malaysia melalui negara ketiga, iaitu Singapura, Thailand, Indonesia, dan Brunei sahaja, dengan syarat mereka memegang visa yang sah dari negara-negara yang berkaitan.

Setelah perundingan dan perbincangan yang rapat antara MOTAC dan KDN, pihak KDN telah memaklumkan syarat-syarat baharu kemudahan VOA bagi warganegara China dan India seperti berikut:

1. Membenarkan warganegara China dan India yang menaiki penerbangan sewa khas (chartered direct flight) melalui agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC dari negara China dan India untuk memohon kemudahan VOA;

2. Agensipelanconganyangmenguruskanpermohonanpelawat perlu bertanggungjawab untuk memastikan pelawat keluar daripada negara dalam tempoh ditetapkan;

3. Agensi pelancongan juga perlu memastikan pelawat yang menaiki penerbangan sewa khas (chartered direct flight) dari negara China dan India mengemukakan maklumat dokumen perjalanan dan senarai ketibaan (list of arrival) dengan lebih awal kepada JIM untuk tujuan semakan dan penyelarasan di pintu masuk;

4. Mengekalkan tempoh keberadaan selama 15 hari. Pelawat wajib menunjukkan tiket penerbangan pergi balik dan dokumen tempahan hotel sepanjang berada di Malaysia; dan

5. Permohonan kemudahan VOA juga adalah tertakluk kepada syarat–syarat yang sedia ada.

Antara proses permohonan dan pertimbangan eVOA adalah seperti berikut:

1. Agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC perlu membuat permohonan secara dalam talian sekurang- kurangnya sepuluh (10) hari dari tarikh kemasukan ke Malaysia melalui pautan eVOA https://imigresen- online.imi.gov.my/evoa/main;

2. Agensi pelancongan yang telah berdaftar di dalam sistem eVOA perlu mengisi dan memuat naik dokumen sokongan maksimum sepuluh (10) pemohon di dalam satu permohonan;

3. Pengesahan dan kelulusan akan diproses dalam tempoh lima (5) hari selepas permohonan berjaya dihantar;

4. Proses pembayaran dibuat oleh agensi pelancongan selepas permohonan diluluskan selewat-lewatnya tiga (3) hari sebelum tarikh kemasukan melalui pautan pembayaran yang tertera di dalam e-mel kelulusan. Kadar bayaran yang telah ditetapkan adalah sebanyak RM200 bagi setiap pelawat; dan

5. Status permohonan boleh disemak di dalam pautan eVOA.

MOTAC berharap lebih ramai pelancong serta pelabur dari China dan India datang ke Malaysia, seterusnya dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan memberi manfaat kepada rakyat.


About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *