Sat. Apr 20th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Lenggong Geopark kini diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan

2 min read

IPOH, 6 Jun 2023 – Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pakej Pelancongan Arkeo &
Geopark Lembah Lenggong bagi mempromosikan warisan arkeologi serta Lenggong
Geopark yang diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan kedua di negeri Perak selepas
Geopark Lembah Kinta.

Sebanyak 48 pakej pelancongan telah dibangunkan dengan kerjasama 15 operator
pelancongan di Wilayah Utara dan Tengah yang antara lain menawarkan lawatan ke
tapak arkeologi, pendakian bukit, penerokaan gua, boat cruise, memancing dan
berkhemah.

Antara yang dihimpunkan di bawah pakej ini termasuklah Pakej Lenggong Geopark and Ecotourism, Pakej Rusa Grill & Fun Trip @ Lenggong, Pakej Lawatan Ilmiah @ Lenggong, Pakej Lenggong Heritage Tour, Pakej Discover Historical & Cultural Geo Lenggong, Pakej Lenggong “Jelajah Gua & Makan Durian” dan Pakej Mini Amazon Paddling @ Lenggong.
Pembangunan Pakej Pelancongan Arkeo & Geopark Lembah Lenggong adalah susulan daripada bengkel dan lawatan produk selama 4 hari 3 malam yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara Zon Tengah, Majlis Daerah Lenggong dan Tourism Perak dengan penglibatan seramai 26 operator pelancongan dan jurupandu geopark
(geoguide) pada Disember tahun lalu.

Bengkel berkenaan telah memberikan banyak pendedahan mengenai potensi pelancongan di tapak-tapak arkeologi dan geopark serta produk pelancongan menarik di sekitar Lembah Lenggong seperti Gua Kajang, Gua Teluk Kelawar, Bukit Sapi, Bukit
Jawa, Bukit Bunuh, Masjid Raja, Mata Air Telaga Biru dan Galeri Arkeologi Lembah Lenggong.

Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, penawaran pakej tersebut diharap mampu mempromosikan keunikan Lembah Lenggong yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Di samping itu, pembangunan pakej ini juga dapat memangkin ke arah usaha pemeliharaan warisan dan budaya tempatan selain membangunkan ekonomi masyarakat setempat sekali gus mempergiatkan aktiviti pelancongan lestari,” katanya.

Kesemua pakej pelancongan ini telah dimuatkan dalam sebuah risalah Pakej Pelancongan Arkeo & Geopark Lembah Lenggong yang kini boleh diakses di laman sesawang Tourism Malaysia iaitu www.malaysia.travel.


About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *