Thu. Apr 18th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

LADA Optimis Capai Kecemerlangan Sektor Pelancongan

2 min read

Sektor pelancongan di Langkawi telah menunjukkan pertumbuhan positif apabila jumlah kemasukan pelancong ke pulau tersebut menunjukkan peningkatan yang luar biasa pada setengah tahun kedua tahun ini. Sehingga 10 Disember 2022, Langkawi telah mencatatkan seramai 2.36 juta pelancong atau mencapai 94.43% dari sasaran yang ditetapkan. Melihat trend kemasukan pelancong pada musim cuti sekolah ini,LADA berpandangan sasaran sebanyak 2.5 juta pelancong pada tahun ini bakal dapat dicapai.
Menurut Nasaruddin Abdul Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA, penganjuran program ini bersama pihak media dari Langkawi khususnya dan kawasan utara amnya bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan mesra serta jalinan kerjasama bersama pihak media.
“LADA mengambil kesempatan ini untuk mengekspresikan apreasiasi kepada pihak media yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam membantu LADA mempromosi Langkawi melalui pelbagai saluran media massa selama ini.” kata Nasaruddin Abdul Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA baru-baru yang telah mengendalikan Program Retreat Bersama Media bertempat di Johor Bharu.
Selain itu,turut dikongsikan bahawa pelbagai inisiatif telah diaturkan sepanjang tahun 2022 bagi memastikan promosi Pulau Langkawi dapat dilaksanakan dengan jayanya. Pada bulan Disember ini sahaja sebanyak 12 acara pelancongan telah dan bakal berlangsung dan ini merupakan inisiatif LADA mengembalikan kemeriahan di pulau legenda ini terutamanya pada musim cuti sekolah. Antara acara yang mendapat sambutan dari pelancong antarabangsa dan domestik ialah Pesta Bendang di Laman Padi yang telah berlangsung pada 16 hingga 18 Disember yang lalu. Akan datang adalah Langkawi Blues Festival pada 25 hingga 27 Disember 2022, Festival Kraf Langkawi pada 22 hingga 27 Disember 2022, Langkawi Cup Fishing Tournament pada 30-31 Disember 2022 serta beberapa acara sampingan lain.

Dengan pelan tindakan komunikasi yang lebih mantap pada tahun 2023, LADA berharap jalinan kerjasama bersama pihak media dapat membantu membangunkan hala tuju promosi dan publisiti kepada pelancongan Langkawi.
Dalam pada itu, program retreat media ini juga dapat memberi peluang kepada LADA untuk mempelajari dan menambah ilmu pengetahuan akan pengurusan dan pembangunan infrastruktur/fasiliti selaras dengan peranan LADA membangunkan Langkawi dan mengendalikan pengurusan aset, fasiliti dan pelaburan. Susulan itu, perkongsian maklumat bersama Majlis Bandaraya Iskandar Putri serta lawatan ke Dataran Iskandar Puteri serta Terminal Feri Putri Harbor turut dilaksanakan dalam sesi kali ini.
LADA juga menumpukan kepada pembangunan pelancongan budaya Langkawi. Oleh itu,bagi mendalami usaha pemuliharaan seni dan budaya untuk memartabatkan ‘culture DNA’ Langkawi, sesi lawatan ke Yayasan Warisan Johor telah disempurnakan pada hari ini.

“Pada masa ini, Langkawi menawarkan pengalaman percutian yang menarik kepada pelancong domestik. Ini terbukti apabila Langkawi telah dinobatkan sebagai Destinasi Percutian Terbaik Malaysia baru- baru ini oleh Malaysia Tourism Industry Awards. Insya Allah, kita akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi keunikan pulau ini melalui komponen pelancongan budaya dan menampilkan Langkawi dengan identitinya yang tersendiri,”ulas beliau.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *