Sat. Jul 27th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Kerjasama Pintar Bangunkan Pulau Bading

3 min read

UMK, PBF DAN BRM JALIN KERJASAMA PINTAR UNTUK MENUBUHKAN
UMK TRACE DI PULAU BANDING

Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Yayasan Pulau Banding (PBF) dan Belum Rainforest Management Sdn Bhd (BRM) mengukuhkan kolaborasi dengan menandatangani perjanjian sewa dan memorandum persefahaman (MoU) dalam membangunkan UMK Tropical Rainforest Research Centre (TRACE) bertempat di Pulau Banding, Gerik Perak.

Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Prof. Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, kolaborasi strategik ini telah dirancang sejak dua (2) tahun yang lalu bersama PBF dan BRM di mana UMK akan menggunakan sepenuhnya fasiliti Pusat Penyelidikan PBF untuk mewujudkan Living Lab di mana tiga (3) fakulti UMK akan mendapat manfaatnya.

Beliau berkata, fakulti tersebut adalah Fakulti Sains Bumi (Earth Science), Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (Hospitality, Tourism & Wellness) dan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (Creative Technology & Heritage).

“Faktor kedudukan strategik Pusat Penyelidikan Yayasan Pulau Banding (PBF) yang begitu hampir dengan Kompleks Hutan Hujan Belum-Temengor amat bersesuaian dengan konsep “Living Lab” kerana ia bakal menyediakan lanskap menarik untuk diterokai dan dikaji flora serta faunanya.

“Secara langsung, UMK di Pulau Banding bakal menjadi hab khususnya bagi warga penyelidik samada dari dalam mahupun dari luar negara yang ingin meneroka khazanah Kompleks Hutan Hujan yang berkeluasan 300,000 hektar, dan antara hutan yang tertua di dunia berusia lebih 130 juta tahun,” katanya.

Menurut Prof. Dr. Nik Maheran, MoU ini juga sebagai platform perkongsian kepakaran yang meliputi penyelidikan, pemindahan ilmu, keusahawanan, program tanggungjawab sosial UMK dan PBF serta peluang para pelajar UMK untuk libaturus dalam aspek penganjuran bengkel, seminar mahupun
ekspedisi.

BRM menguruskan Belum Rainforest Resort (BRR) iaitu sebuah Resort bertaraf empat (4) bintang yang dibangunkan di atas Pulau Banding terhasil daripada Piagam Pulau Banding yang digubal bersama-sama dengan Badan-badan bukan Kerajaan seperti WWF, MNS serta pihak-pihak berkepentingan.
BRR dibangunkan dengan amat teliti berpandukan kepada konsep pemeliharaan alam semulajadi dengan low-impact development, manakala PBF pula adalah software kepada BRR, bagi para pelancong,
penyelidik dan agensi kerajaan yang menginap di sini untuk mereka menjalankan penyelidikan, latihan dan program pembangunan masyarakat disamping menikmati khazanah alam, God’s gift to mankind.

BRR merupakan satu-satunya resort yang terdapat di kawasan Kompleks Hutan Hujan Belum-Temengor, sekaligus menjadikannya sebagai ‘pintu masuk’ utama bagi mereka yang ingin menikmati keindahan alam semulajadi di kawasan ini.

Resort ini mempunyai 106 unit penginapan pelbagai jenis termasuk villa
dan ‘houseboat’, dewan seminar serta pelbagai fasiliti rekreasi untuk kemudahan pelancong menikmati keindahan alam semulajadi.

Melalui MoU ini, BRR berperanan untuk menawarkan peluang apprenticeship atau “Live Training” kepada para pelajar UMK khususnya daripada Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan, di samping
sama-sama melaksanakan projek-projek pembangunan masyarakat yang berkaitan di antara lain program kemasyarakatan bagi orang-orang Asli di hutan ini.

Pada majlis tersebut, UMK diwakili Prof. Dr Nik Maheran dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr. Arham Abdullah. Manakala PBF pula diwakili oleh Pengerusinya, iaitu Prof. Emeritus
Dato’ Dr. Abdul Latiff Mohamad dan BRM diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Puan Hajah Mazrita Mazlan.

Turut hadir bagi menyaksikan majlis ini adalah Pengerusi Eksekutif Kumpulan EMKAY, Tan Sri Mustapha Kamal Hj Abu Bakar.

Menurut, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff Mohamad, pihaknya amat bersyukur dengan kolaborasi ini, kerana BioD Centre of Excellence (COE) diwujudkan tepat pada masanya kerana inisiatif ini akan memberikan kelebihan (weightage) dalam usaha Kerajaan Negeri Perak dan Malaysia khususnya yang sedang dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO World Heritage Site bagi Hutan DiRaja Belum.

Sinergi ini diharap dapat memberikan manfaat kepada ketiga-tiga pihak untuk menjadikan Pusat Penyelidikan Pulau Banding, UMK-PBF antara “Living Lab” atau makmal terbuka setaraf dengan Danum Valley di Sabah dan BRR sebagai destinasi eko-pelancongan terunggul sekaligus meletakkan nama Hutan DiRaja Belum di peta dunia.

Katanya, kelebihan sinergi antara ketiga pihak ini dikuatkan lagi dengan konsep penubuhan PBF dan BRM yang diilhamkan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan EMKAY, Tan Sri Mustapha Kamal. PBF dan BRM diwujudkan untuk saling melengkapi di antara satu sama lain dari sudut Edu-Tourism dan Eco-Tourism.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *