Sun. May 19th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

ISTANA BUDAYA MULA GERAK DENGAN LAMBANG SARI SERIES: RESILIENCE & TRIUMPH

3 min read

KUALA LUMPUR : Istana Budaya (IB) mula bergerak dengan persembahan seni bertaraf antarabangsa bagi tahun 2024 melalui program Lambang Sari Series (LSS) bertemakan Resilience & Triumph. LSS merupakan salah satu program utama IB yang dijayakan oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan kini kembali membawa kegemilangan muzik klasikal barat yang berjaya mendapat sokongan masyarakat Malaysia menerusi hasil jualan tiket (full house) bagi keseluruhan siri di pentas Panggung Sari, IB pada tahun lalu.

Encik Nasran Nawi selaku konduktor bagi orkestra ini akan mengemudi seramai 39 orang pemuzik OSK dan 39 orang pemuzik jemputan yang bakal menyuntik kelainan persembahan Resilience & Triumph serta penampilan istimewa pemuzik tempatan piano solo iaitu Muzaffar Abdullah. Komposisi lagu akan dipersembahkan dari komposer barat terkenal seperti Hector Belioz (Roman Carnival Overture, Op.9),Maurice Ravel (Piano Concerto for the Left Hand in D Major, M. 82) dan Jean Sibelius (Symphony No.2 in D Major, Op. 43).

Figura hebat Muzaffar Abdullah yang tidak asing di negara-negara Asia dan Eropah, anak jati Malaysia ini juga sering mengadakan masterclass di dalam dan luar negara serta merupakan seorang tenaga pengajar di Conservatoire International de Musique de Paris, Conservatoire de Noisy-le-Grand dan Conservatoire de Rayonnement Departmental de Gennervilliers. Gabungan hebat di bawah pimpinan En. Nasran Nawi ini pasti memberikan rasa teruja dalam menghayati muzik klasikal barat.

Puan Zubaidah Mukhtar, Ketua Pengarah Istana Budaya menyatakan bahawa “bersempena Kempen Gerak ini, rebutlah peluang keemasan untuk menonton dan merasai sendiri program-program IB dengan lebih dekat sebagaimana pementasan bertaraf antarabangsa dapat diadakan berdekatan anda. Harga tiket dan lokasi yang menarik untuk LSS: Resilience & Triumph ini dapat menjanjikan pengalaman menakjubkan sekali seumur hidup untuk anda semua.”

Buat julung kalinya IB menerusi Kempen Gerak yang dilancarkan pada tahun lalu, persembahan anjuran IB ini dapat dipertontonkan di luar daripada pentas Panggung Sari, IB dan kini Resilience & Triumph bakal menemui pencinta muzik di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada 18 Mei 2024 jam 8.30 malam.

Tiket persembahan dijual dengan harga tiket serendah RM88, RM108, RM180 dan RM280 (suite/perseat). Tempahan tiket hanya boleh didapati di laman sesawang DFP iaitu https://www.dfp.com.my/lambang-sari-series-resilience-and-triumph .

Tiket LSS telah mula dijual dan harga promosi turut diberikan oleh IB dengan memberikan potongan harga sebanyak 30% bagi penjawat awam (GOV30) dan Warga Emas (SENIOR30). Setiap pembelian perlu disertakan dengan KOD Diskaun dan ID. Manakala bagi Pelajar dan Pemegang Kad OKU boleh membuat pembelian terus di kaunter DFP Box Office dengan mempamerkan kad Pelajar dan kad OKU.

Pada 29 Februari 2024 yang lalu, IB telah merasmikan Majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2024 dan Buku Rekaan Kostum dengan memperkenalkan tiga (3) program utama yang bakal dipersembahkan pada tahun ini iaitu Lambang Sari Series, Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM): Sounds of Malaysia dan Teater Muzik Puteri Hang Li Po.

Panggung Sari Istana Budaya kini masih belum dibuka untuk beroperasi atas sebab memberi ruang kepada kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan bangunan khususnya bumbung dan dijangka akan beroperasi semula pada tahun 2026 selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026).

Untuk maklumat lebih lanjut, awam boleh melayari portal dan di setiap platfom media sosial Istana Budaya atau menghubungi Unit Perhubungan Awam, Istana Budaya di talian 03-4026 5555 atau e-mel ke info@istanabudaya.gov.my .

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *