December 7, 2022

Santai Travel Channel

Islamic Tourism Centre (ITC) Perkenal Akreditasi Iktiraf Penginapan Mesra Muslim

2 min read

Islamic Tourism Centre (ITC) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya telah memperkenalkan Akreditasi Iktiraf Penginapan Mesra Muslim (Muslim Friendly Accomodation Recognition). Majlis pelancaran ini telah diadakan dengan gilang-gemilang di Zenith Hotel Putrajaya, kemudian diikuti dengan Forum Pelancongan Mesra Muslim. Menteri Pelancongan, Seni & Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi telah menjayakan pelancaran majlis tersebut. Turut hadir bersama adalah Ketua Pengarah ITC, Datuk Seri Abdul Khani Daud. Akreditasi yang dilaksanakan oleh ITC adalah pertama seumpamanya di dunia yang diusahakan oleh agensi kerajaan, terang Datuk Mohamaddin Ketapi kepada pemberita.  “Pelaksanaan ‘Pengiktirafan Premis Penginapan Pelancongan Mesra Muslim’, adalah inisiatif penting untuk memperkasa industri pelancongan, terutama segmen pelancongan Islam untuk memulakan pembangunan industri ke arah fasa seterusnya,” katanya.

Malaysia berjaya menarik potensi sektor pelancongan Islam, terutama buat  pelancong dari Timur Tengah, yang menjadi penyumbang terbesar dalam industri pelancongan Malaysia. “Sektor pelancongan Islam adalah segmen pasaran berpotensi tinggi. Malaysia telah berada di kedudukan teratas selama sembilan tahun berturut-turut dalam Indeks Pelancongan Muslim Global yang dilakukan oleh Crescent Rating yang mengkaji pola dan trend pelancongan Islam di seluruh dunia.

Sementara itu, Ketua Pengarah ITC, Datuk Seri Abdul Khani Daud berkata pada sidang media, akreditasi itu dibangunkan bersama Sirim Berhad sejak tahun 2015. Hotel-hotel di Malaysia perlu mematuhi beberapa kriteria dan garis panduan yang ditetapkan untuk memenuhi piawaian ini seperti faktor kebersihan, penyediaan makanan dan minuman halal, kemudahan solat di dalam bilik seperti sejadah dan tanda arah kiblat, gimnasium diasingkan, kolam renang untuk wanita serta banyak lagi. Terdapat tiga peringkat akreditasi; platinum, emas dan perak, berdasarkan tahap pematuhan kepada piawaian yang telah ditetapkan.

Pada majlis tersebut juga, Menteri Pelancongan, Seni & Budaya telah menyampaikan pengiktirafan kepada 12 buah hotel di Malaysia yang berjaya memenuhi piawaian tersebut.

Platinum

  • TH Hotel & Convention CentreTerengganu
  • Hotel Perdana Kota Bharu
  • PNB Perdana Hotel & Suites On The Park, Kuala Lumpur
  • Hotel Adya Langkawi
  • The Light Penang
  • Grand Bluewave Shah Alam
  • Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA

Gold

  • Grand Darul Makmur Hotel, Kuantan
  • PNB Ilham Resort, Port Dickson
  • Tamu Hotel & Suites KL
  • Zenith Hotel Putrajaya

Silver

  • Hyatt Regency Kinabalu
Facebooktwitteryoutubeinstagram
Facebooktwitterredditpinterestmail

Leave a Reply

Your email address will not be published.