Wed. Apr 24th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

ISLAMIC RELIEF MALAYSIA LANCAR REZEKI QURBAN BANTU 28 NEGARA 

2 min read


BMeneruskan misi kemanusiaannya melalui pelbagai sektor bantuan, Islamic Relief Malaysia hari ini melancarkan kempen Rezeki Qurban dengan slogan #zahirkankesyukuran bagi memudahkan dan membuka peluang kepada masyarakat untuk melaksanakan ibadah korban melalui Islamic Relief Malaysia.

Ibadah korban telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah dan ia merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dalil pensyariatannya sabit dengan al-Quran dalam surah al-Kauthar ayat 2 dan surah al-Hajj ayat 36. Ibadah ini dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia setiap tahun apabila tibanya Aidiladha, atau Hari Raya Qurban pada 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyrik, iaitu pada 11,12 dan 13 Zulhijjah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin, pihaknya membuka penyertaan sebanyak 943 bahagian korban melibatkan agihan di 28 buah negara dengan menyasarkan golongan asnaf, pelarian, ibu tunggal, anak yatim, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan lain-lain sebagai kelompok penerima.

“Seperti biasa, Islamic Relief meneruskan program bermusim secara tahunan ini untuk mendekati dan mencapai sebanyak mungkin komuniti rentan untuk disantuni menerusi bantuan agihan daging korban,” jelas Zairulshahfuddin.

Katanya lagi, Islamic Relief menggunakan haiwan ternakan yang berbeza mengikut negara untuk dikorbankan seperti lembu, kerbau, kambing, dan kambing biri-biri.

“Islamic Relief amat menitikberatkan soal pemilihan binatang sembelihan bagi menepati syariat Islam yang ditetapkan seperti melebihi umur minimum binatang sembelihan di samping bebas dari sebarang kecacatan.

“Dari sudut kaedah pelaksanaan pula, Islamic Relief menggunakan tiga cara yang berbeza mengikut negara pelaksana iaitu melalui agihan daging segar, daging sejuk beku dan juga daging dalam tin.

“Setiap keluarga akan menerima kira-kira antara 2kg hingga 4kg daging korban yang dijangka mampu bertahan untuk tempoh satu minggu,” tambahnya lagi.

Sementara itu, bagi Pengurus Program Kemanusiaan Islamic Relief Palestine, Rami T. M Mahani, musim korban adalah saat yang paling dinanti buat penduduk Gaza.

“Tahun demi tahun, penderitaan penduduk Gaza di Wilayah Palestin baik wanita, lelaki, kanak-kanak mahupun warga emas semakin meningkat. Namun, dalam kesukaran itu, kesabaran dan keyakinan mereka kepada Allah SWT juga cukup tinggi.

“Setiap tahun, mereka menanti ketibaan musim korban untuk menerima kehadiran tim Islamic Relief mengetuk pintu rumah mereka, memberi ucapan lebaran dan menyampaikan daging segar buat mereka.

“Secara tidak langsung, aktiviti tersebut dapat menghidupkan sunnah Rasulullah SAW apabila melihat senyuman indah terpancar di wajah penerima manfaat di samping doa yang dituturkan oleh para ibu dan wanita serta harapan yang digambarkan oleh kanak-kanak,” ulas Rami.

Islamic Relief mula melaksanakan program ibadah korban pada tahun 1986 dengan agihan 670 bahagian korban. Tahun demi tahun, program ini semakin mendapat sambutan dan berkembang baik sehingga menjadi program bermusim bagi Islamic Relief seluruh dunia.

Pada tahun 2020 sahaja, sebanyak 578,833 pek daging korban telah diagihkan di lebih 30 negara dan memberi manfaat kepada lebih 3.3 juta orang termasuk di Palestin, Syria, Yaman, Somalia dan lain-lain.

Orang ramai yang ingin melaksanakan ibadah korban bersama Islamic Relief Malaysia boleh terus ke laman sesawang; www.islamic-relief.org.my untuk membuat pendaftaran. Harga bagi setiap penyertaan bahagian korban berbeza mengikut negara bermula dari RM350 sehingga RM1,500.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *