August 18, 2022

Santai Travel Channel

GALERI BALAI SENI NEGARA KINI DIBUKA SEMULA

2 min read

KUALA LUMPUR : Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) selaku agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sentiasa komited dalam menggalas tanggungjawab bagi memberikan pendedahan dan hebahan berkaitan seni visual khususnya kepada rakyat Malaysia dan juga pelancong dari luar negara. Sejak ditutup pada bulan Ogos 2020 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penambahbaikan dan pengubahsuaian ruang galeri serta bumbung utama, maka pada hari ini Majlis Perasmian Pembukaan Semula telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya.

Menurut YB. Dato’ Sri Hajah Nancy; “Bagi meraikan pembukaan semula galeri, Balai Seni Negara membawakan Pameran “NUSA” iaitu pameran Koleksi Tetap Seni Visual Negara. Pameran ini melibatkan lima buah galeri iaitu Galeri Reka, Tun Razak, 2A, 2B dan 3B. Sebanyak 466 buah karya dipamerkan yang mengetengahkan naratif sejarah dan mitos, persoalan dan pencarian hal identiti, idea, cadangan yang terhasil dan seterusnya membawa kepada pembentukan representasi Tenggara yang ingin diketengahkan dalam pameran ini melalui Koleksi Negara.

Pembukaan semula galeri turut dinanti peserta Bakat Muda Sezaman 2021 (BMS21). BMS21 menerima sebanyak 166 permohonan penyertaan dan seramai 81 peserta telah terpilih dalam saringan yang dijalankan oleh kumpulan kuratorial daripada Balai Seni Negara. Majlis perasmian ini juga menyaksikan pengumuman dan penyerahan 11 anugerah BMS21 yang bertemakan ‘Seni di Lokasi’ dan 5 Anugerah Penghargaan.

Selain pameran tetap, terdapat pelbagai pameran yang menanti para peminat seni visual. Antaranya ialah Pameran Hanya Satu – Single yang mempamerkan karya Anti Panic Buying oleh Syafiq Nordin. Anti Panic Buying mengetengahkan idea “Roti Gardenia” berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan situasi di luar jangkaan sehingga berlakunya pembelian panik dalam kalangan masyarakat seluruh negara. Balai Seni Negara juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Gardenia atas kesudian menjadi rakan kolaborasi bagi pameran ini.

Disamping itu, seni foto juga turut diketengahkan melalui Pameran Fotoseni di Galeri Potret. Pameran ini bermatlamat untuk menelusuri perkembangan seni foto secara am dan penggunaannya dalam pengkaryaan seni kontemporari yang ditampilkan menerusi koleksi Seni Visual Negara yang dihimpun sejak tahun 1963 sehingga 2021. Bagi peminat seni digital pula, Pameran “Walking Through a Songline” anjuran National Museum of Australia dengan kerjasama Mosster Studio dipamerkan di ruang Galeri 3A.

Menurut Encik Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, “Naratif dan cerita NUSA dalam pameran tetap, diharap dapat memperluas ufuk pandang pelawat terhadap etos masyarakat kita di Asia Tenggara Asia. Balai Seni Negara adalah tempat yang indah untuk membiarkan imaginasi kita kembali meneroka dan menginspirasi untuk ilham dan idea-idea baharu”.

Justeru, orang ramai dijemput untuk melawat galeri dan menghayati keindahan seni visual di Balai Seni Negara. Sebarang maklumat lanjut mengenai pameran dan waktu operasi, layari www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.

Majlis turut dihadiri YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Indera Dayang Fatimah Tom Abang Saufi, Pengerusi LPSVN, YBrs. Encik Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah LPSVN serta pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi.

Facebooktwitteryoutubeinstagram
Facebooktwitterredditpinterestmail

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.