Fri. Apr 26th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Galaxy Tab S7+ Keseimbangan Produktiviti dan Hiburan

2 min read

Jika dahulu, komputer riba amat penting dalam membantu menyelesaikan kerja harian kita. Namun komputer riba agak berat dan kurang praktikal untuk dibawa ke mana-mana. Dengan adanya evolusi tablet, ia nyata mengubah gaya bekerja kita. Tablet mempunyai skrin yang lebih besar dari telefon pintar namun lebih ringan dari komputer riba. Seiring dengan peredaran zaman, Samsung kini telah menghasilkan siri tablet terbaharu, Samsung Galaxy Tab S7 dan S7+. Saya berpeluang bermain-main dengan Galaxy Tab S7+ yang menawarkan spesifikasi yang tinggi untuk tablet. 

Apa yang best tentang tablet S7+ ini adalah saiz skrinnya yang besar, Super AMOLED 12.4 inci dengan kadar segar semula 120Hz. Skrinnya adalah yang terbesar di antara tablet yang berada di pasaran, sesuai untuk buat kerja atau pun untuk menonton filem dan bermain permainan video. Setelah menggunakannya untuk beberapa hari, saya dapati stylus S Pen lebih responsif manakala dentuman audio Dolby Atmos menyegarkan halwa telinga. Dengan ruang penyimpanan 256GB, saya boleh menyimpan koleksi lagu-lagu dan filem kegemaran dengan mudah. Kalau tidak cukup, ada satu slot yang kad mikroSD yang boleh menyimpan sehingga 1TB.

Bercakap tentang rekabentuknya pula, bezelnya kali ini lebih nipis malah pengimbas jari telah diintegrasikan di dalam skrin. Tablet ini mempunyai kamera depan di sisi panjang tablet yang tidak akan diganggu apabila ditambah aksesori tambahan seperti papan kekunci. Galaxy Tab S7+ masih menggunakan USB type-C yang berada di bawah dan seperti Galaxy S20, tidak ada penyambung audio 3.5mm untuk earphone atau pembesar suara tambahan. Tablet ini didatangkan dengan empat buah speaker yang mana bunyi telah dihasilkan oleh SKG. Logam magnet yang digunakan di sisi tablet membolehkan S Pen ditempelkan di kesemua sisi tablet. Gambar yang diambil menggunakan Galaxy Tab S7+ juga mempunyai kualiti yang agak bagus. Terdapat dua kamera belakang, iaitu kamera utama dengan 13 Megapiksel dan kamera ultrawide 5 megapiksel. 

Apa yang boleh saya katakana tentang tablet ini, ia sangat sesuai digunakan sebagai pengganti kepada komputer riba. Pembelajaran anak saya di rumah menjadi lebih mudah dengan adanya tablet ini yang mempunyai Google Mobile Services sepenuhnya. Segala fungsi seperti Google Classroom atau Google Meet hanya di hujung jari dan stylus S Pen memudahkan anak saya menyelesaikan kerja-kerja yang diberi oleh guru tanpa perlu menggunakan mesin pencetak. Ia juga mudah dibawa, ringan dan selesa dipegang dengan jari. Ketahanan baterinya juga agak mengejutkan saya. Tablet ini dikuasakan dengan kapasiti bateri 10090mAh. Dalam penggunaan yang sederhana, saya boleh menggunakan tablet ini hampir 10 jam tanpa henti. Galaxy Tab S7+ kini hanya berharga RM4599 termasuk S Pen dan papan kekunci.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *