Sat. Apr 27th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

BSN DAN PAYHUNTER PERKENAL BAYARAN TANPA TUNAI DI 24 LOKASI BAZAR RAMADAN DI KUALA LUMPUR

2 min read

Dalam menyokong perniagaan digital, Bank Simpanan Nasional (BSN) telah bekerjasama dengan Tech Hunter Global Sdn Bhd (PayHunter) untuk memperkenalkan BSN DuitNow QR Soundbox, terminal pembayaran digital yang menyelaraskan bayaran tanpa tunai bagi peniaga gerai bazar Ramadan. 

BSN DuitNow QR Soundbox kini tersedia dan diaktifkan penggunaannya di 24 lokasi bazar Ramadan terpilih sekitar Kuala Lumpur. Penggunaan terminal ini adalah selaras dengan kejayaan program #TechMeToBazaar pada tahun lepas di bazar Ramadan TTDI yang mana ia bukan sahaja mempamerkan komitmen BSN dan PayHunter meningkatkan landskap perdagangan digital malah turut sama memperkasakan kebolehupayaan digital bagi PMKS.

Program ini dihadiri oleh Yang Berbahagia Datuk Seri Sr Haji Kamarulzaman Bin Mat Salleh, Datuk Bandar Kuala Lumpur yang turut menyaksikan pelancaran Dynamic BSN DuitNow QR Soundbox pertama dengan fungsi pembayaran menerusi Kad oleh BSN dan PayHunter. Pelancaran produk digital ini bertujuan untuk membantu para peniaga dengan menyediakan akses pantas, selamat dan terus ke akaun mereka tanpa kerumitan mengendalikan wang tunai.

BSN dan PayHunter juga telah bekerjasama untuk menawarkan peniaga bazar Ramadan sama ada baharu dan sedia ada peluang untuk menjadi pedagang BSNeBiz. Lebih istimewa, kesemua peniaga bazar Ramadan di 24 bazar Ramadan di Kuala Lumpur akan menerima BSN DuitNow QR Soundbox secara percuma. 

Sementara itu, Dynamic BSN DuitNow QR Soundbox pula akan mula dilancarkan pada suku berikut tahun ini. BSN dan PayHunter akan terus menaik taraf QR Soundbox dengan ciri baharu di mana peniaga boleh memasukkan harga produk terus ke dalam peranti yang kemudiannya menjana kod QR secara automatik. Pelanggan boleh terus mengimbas kod QR atau menggunakan kad untuk pembayaran.

Yang Berbahagia Datuk Seri Sr Haji Kamarulzaman Bin Mat Salleh, Datuk Bandar Kuala Lumpur berkata, “Saya bangga dan gembira melihat usaha peniaga-peniaga meningkatkan kemahiran diri sedia ada. Mereka mempelajari dan mengambil kira kehendak pelanggan mereka yang inginkan transaksi mudah dan lancar dalam setiap transaksi, termasuk untuk sekecil-kecil pembelian di bazar Ramadan. Ini merupakan perkembangan positif dalam memperkasakan lebih banyak PMKS dan PKS mengguna pakai penyelesaian digital, memandangkan semakin ramai rakyat Malaysia kini mengamalkan gaya hidup digital.

Jay Khairil, Ketua Eksekutif BSN, mengulas, “Sebagai sebuah institusi kewangan yang dimandatkan, kami komited dalam memperkasakan PMKS melalui geran digital PMKS Madani, memastikan kejayaan mereka sekaligus menyumbang kepada perkembangan ekonomi lebih inklusif.”

Gary Yeoh, Ketua Pegawai Komersial PayNet, berkata, “Kami komited dalam memastikan perdagangan yang lebih mudah dan lancar bagi semua rakyat Malaysia, terutamanya PMKS yang merupakan tulang belakang ekonomi negara. Sokongan kami terhadap inisiatif BSN DuitNow QR Soundbox mencerminkan dedikasi kami dalam memperkasakan perniagaan dengan sistem e-pembayaran yang lebih diperkemas, mudah dan cekap. Menerusi platform yang inovatif, kami memperkenalkan lebih dari teknologi; kami mewujudkan peluang bagi perniagaan untuk berjaya dalam ekonomi digital. Bersama-sama, kami mengubah perdagangan supaya ia lebih menyeluruh, progresif dan bermanfaat buat orang ramai, sekaligus membentuk masa hadapan dengan urusniaga yang meningkatkan penyertaan ekonomi oleh semua.”Untuk maklumat lanjut mengenai terminal pembayaran, anda boleh layari laman Facebook PayHunter https://www.facebook.com/payhunter.com.my 

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *