Tue. Apr 23rd, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

Berbaloikah Menggunakan Samsung S20?

3 min read


Siapa sangka tahun ini kita dilanda pandemik Covid 19. Hampir 90 hari kita terpaksa berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  Sepanjang tempoh PKP, saya berpeluang menggunakan siri Galaxy S yang diperkenalkan oleh Samsung pada tahun 2020. Hampir sebulan model Galaxy S20 menjadi teman rapat saya. Dengan nama baru ini, Samsung telah melakukan beberapa perubahan untuk model Android flagship mereka. 

Saya ingin mulakan dengan rekaannya. Sebaik kotak dibuka, apa yang saya dapat katakan, telefon ini memang nipis dan agak pelik apabila dipegang kerana bahagian belakang terdapat bonggol kamera. Saya nasihatkan anda dapatkan casing untuk model ini kerana selain mengelakkan anda tersentuh dengan bonggol kamera tersebut, casing ini juga akan mengurangkan rasa licin ketika memegang siri Galaxy S20 ini. Casing ini juga akan membantu untuk mengelakkan kesan cap jari di badan peranti ini kerana ia menggunakan kaca Gorilla Glass. S20 mempunyai skrin Quad HD+ Dynamic AMOLED 2X yang berukuran 6.2 inci dan bahagian atas terdapat sebuah kamera dalam lubang (punch hole) kecil di tengah-tengah skrin. 

Galaxy S20 ini mempunyai ruang untuk kad SIM dan kad memori microSD manakala di bawah terdapat penghubung USB Type-C. Satu lagi jika anda memiliki siri Galaxy S20, anda perlukan earphone wayarles atau hanya earphone yang mempunyai penghubung Type-C. Selamat tinggal bicu audio 3.5mm! Dalam siri S20 ini, ia adalah pertama kali siri Galaxy S dilengkapi skrin dengan kadar segar semula (refresh rate) sepantas 120Hz dengan resolusi 1080 x 2400. Namun tetapan asal S20 adalah 60Hz. Apa yang saya suka mengenai Samsung adalah mutu paparan yang dijana pada skrin adalah sangat cantik dengan skrin Dynamic AMOLED 2x. Kalau berada di bawah panas mentari terik, keterangannya boleh dilaras.

Sebagai editor untuk majalah pelancongan, saya mementingkan kualiti kamera. S20 menggunakan kamera ultra-lebar 12MP, kamera utama 12MP dan kamera telefoto 64MP. Kapasiti bateri 4,000mAh membolehkan telefon pintar ini digunakan dari pagi hingga ke tengah malam. Kalau bateri berkurang pun, usah risau kerana ia boleh dicas menggunakan pengecas Super Fast Charging 25W. Ketika mengguna Galaxy S20 ini, kita masih lagi berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi gambar-gambar yang saya ambil banyak tertumpu di rumah dan juga di Kuala Lumpur sahaja. Jika anda bukan jurugambar professional seperti saya, kamera S20 ini mampu mengambil gambar yang cantik dengan sangat mudah. Kamera S20 juga tiada masalah untuk mengambil gambar dalam situasi yang malap. 

Saya sebenarnya paling menggemari kebolehan fotografi ultra-lebar dalam S20 ini. Gambar yang dihasilkan sangat cantik dan tentunya ia amat berguna jika anda berada dalam kawasan yang sempit atau ingin mengambil gambar pemandangan sebanyak mungkin. Samsung juga banyak mengiklankan fungsi Single Take. Secara asasnya, fungsi ini akan mengambil beberapa gambar dan video secara automatik sebaik sahaja anda menekan butang shutter. Hasilnya, anda akan mempunyai beberapa pilihan gambar dan video yang telah disunting secara automatik, lengkap dengan penapis  atau efek menarik yang boleh terus dimuat naik ke media sosial seperti Instagram atau Facbook. Namun saya berpendapat fungsi ini tidak akan selalu digunakan. Sebabnya, semua gambar single take yang saya ambil jarang sekali suntingan automatik ini memberi hasil yang saya suka. Jadi saya lebih suka mengambil gambar menggunakan mod auto atau mod pro untuk hasil gambar yang lebih kemas. 

Kebolehan zoom juga tidak terlalu bagus. Saya cuba zoom untuk mengambil gambar bulan penuh tetapi sebaik melepasi  zum 10x gambar sedikit kabur. Namun keseluruhannya fungsi zoomnya masih OK. Manakala kamera telefoto 64MP tanpa sebarang zum untuk mendapatkan lebih banyak butiran dalam gambar yang diambil. Akan tetapi, gambar yang diambil dengan kamera 64MP hanya boleh ditangkap dalam nisbah aspek 4:3. Saya juga gemar fungsi Live Focus di mana latar belakang dalam gambar atau video akan dikaburkan dengan efek bokeh secara real-time. Daripada segi video pula, S20 mampu merekod pada resolusi 8K dengan 24fps. Saya telah mencubanya dan kualiti videonya adalah sangat bagus pada resolusi 8K dan juga resolusi-resolusi yang lebih rendah seperti 4K dan 1080p. S20 juga menyediakan penstabilan imej sewaktu rakaman video dengan nisbah aspek 16.9. 

Kesimpulannya selepas lebih sebulan menggunakan S20, saya amat berpuas hati dengan teknologi yang dilengkapkan dalam telefon permulaan flagship ini. Mungkin S20+ dan S20 Ultra mampu memberikan impak yang lebih hebat dari S20. Namun ada satu perkara yang saya tidak suka sepanjang menggunakan S20 ini. Telefon pintar ini cepat panas! Tambahan lagi apabila saya selalu menggunakan fungsi kamera, hanya beberapa kali ambil gambar ia menjadi panas. 

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *