Fri. Apr 26th, 2024

Santai Travel Media

I n s p I r a s I p e r c u t I a n k u

7 Wonders Copthorne Rancakkan Pelancongan Cameron Highlands

3 min read


Meluangkan masa bercuti bukan saja untuk melapangkan fikiran, tetapi memberi peluang untuk kita menerokai tempat baharu dan mempelajari budaya masyarakat di destinasi yang dikunjungi. Namun trend bercuti kini berbeza buat rakyat Malaysia selepas dilanda pandemik Covid 19. Ramai yang berbondong-bondong keluar dari kediaman mereka untuk bercuti. Hampir 90 hari mereka berada di rumah tanpa boleh keluar ke mana-mana ibarat bom jangka yang hanya menunggu waktu untuk meletus

Pusat peranginan tanah tinggi, keindahan pantai dan pulau yang terdapat di negara ini sudah tentu menjadi lokasi pilihan termasuklah Cameron Highlands. Selepas hampir tiga bulan sunyi dan lengang dek kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan oleh Kerajaan Malaysia, kini kawasan pelancongan tanah tinggi ini kembali sesak dengan kereta. Saya yang tiba di sini pada hari Rabu, agak terkejut melihat jumlah kenderaan yang agak banyak di Tanah Rata dan Pekan Brinchang. Kelonggaran yang diberikan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) nyata menghidupkan kembali aktiviti pelancongan di sini. 

15 Jun 2020 adalah tarikh keramat kerana aktiviti pelancongan telah dibenarkan. Hotel-hotel serta pusat peranginan dibenarkan beroperasi kembali namun tertakluk kepada SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Ini termasuk hotel seperti Copthorne Cameron Highlands yang membuat akur dengan arahan kerajaan dan mereka kini beroperasi dalam norma baharu. Segala SOP yang ditetapkan kerajaan untuk tetamu daftar masuk ke hotel telah mereka ikuti. Saya perlu menulis nama dan merekodkan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki premis hotel. Cecair pembasmi kuman disediakan di pintu masuk dan juga di kaunter daftar masuk di lobi. Rata-rata saya lihat pekerja hotel semua memakai topeng muka dan mereka yang berada di sini turut mengamalkan penjarakan sosial. 

Sebanyak 109 hotel di Cameron Highlands mula menerima tempahan beberapa jam selepas Kerajaan Malaysia mengumumkan kebenaran rentas negeri. Menyedari hakikat ini, Copthorne Cameron Highlands telah bersedia untuk menerima gelombang pertama rakyat Malaysia yang bercuti di Cameron Highlands. Menurut Pengurus Besar Copthorne Cameron Highlands Encik Patrick Tee berkata pihak hotel telah melakukan sanitasi dan penyelenggaraan di sekitar hotel yang mempunyai 317 bilik itu. “Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seperti pengambilan suhu badan juga diamalkan, selain tetamu boleh mendaftar masuk tanpa berurusan di kaunter menerusi aplikasi Sanarp, supaya lebih selamat tanpa sentuhan,” katanya. Sepanjang tempoh penutupan hotel semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan banyak masa pada pihak hotel untuk memikirkan strategi baru perniagaan. 

Maka lahirlah 7 Wonders Copthorne dengan kerjasama rakan strategik mereka. 7 Wonders Copthorne  yang dimaksudkan ialah Mossy Forest, Ladang BOH Sungai Palas, Kea Farm Market, Cactus Point, S’Corner Central Market, Fragrance Flowers dan Ee Feng Gu Honey Bee Farm. Tetamu yang menginap di Copthorne Cameron Highlands boleh mencuba lawatan berpandu eksklusif di Kea Farm. Lawatan ini termasuk melawat Pasar Kea Farm dan berjalan menyelusuri perkampungan Kea Farm dan melihat kebun-kebun sayur di dalamnya. Aktiviti ini tidak akan berjaya tanpa sokongan ketua kampung Kea Farm dan  penduduknya. Lawatan Berpandu ini mengambil masa hampir 1 jam 30 minit dengan jarak sejauh 2.5 kilometer berjalan kaki. Pada penghujung lawatan, pihak hotel akan membawa anda pulang ke hotel dengan van. Sebelum balik ke hotel, anda boleh memilih untuk singgah di Ee Feng Gu Honey Bee Farm. 

Menurut Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Negeri Pahang Datuk Idros Yahya yang ditemui ketika majlis pelancaran berkata, pihaknya mendapati kehadiran pelancong selepas kebenaran merentas negeri, tertumpu kepada kawasan ekotourism dan lokasi makanan yang enak. “Ramai rakyat suka mengunjungi negara beriklim sejuk seperti New Zealand, China, Korea dan Jepun, namun apabila mereka tidak boleh membuat perjalanan keluar negara, mereka mencari kawasan pelancongan kawasan tanah tinggi terutamanya Cameron Highlands,” katanya kepada Majalah Santai Travel baru-baru ini. Beliau juga amat berbangga kerana pihak hotel sendiri yang mengambil inisiatif untuk menggerakkan kembali aktiviti pelancongan di Cameron Highlands dengan kerjasama dan sokongan pengusaha-pengusaha pelancongan yang lain. “Daya kreativiti seperti inilah yang saya mahu lihat di kalangan pengusaha pelancongan domestik. Hanya dengan sedikit pembaharuan produk pelancongan, ia dapat menarik lebih ramai kehadiran pengunjung dan memastikan mereka tinggal lebih lama di premis yang ada,” kata Datuk Idros. Tambah beliau lagi, kon pine yang diberikan kepada semua tetamu telah dikutip dan dibersihkan oleh pihak hotel. Mungkin pada masa akan datang kon pine ini boleh diletakkan sebagai cenderahati buat tetamu yang menginap di sini. 

Majlis pelancaran 7 Wonders Copthorne turut diserikan dengan kehadiran Pengurus Besar Tourism Pahang, Dato’ Ishak Mokhtar dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Encik Hafiz bin Hazrin. Pihak Majalah Santai Travel juga turut diberitahu, sepanjang tempoh penutupan hotel ketika PKP, para pekerja Copthorne Cameron Highlands telah menghasilkan 200 penutup muka untuk kegunaan para petugas barisan hadapan di Hospital Besar Cameron Highlands. Sekalung tahniah kami ucapkan atas usaha murni dan sumbangan para pekerja hotel.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *