December 5, 2022

Santai Travel Channel

Konsert Agungnya Cinta Kumpul Dana Amal

Inisiatif Dana Amal ‘Agungnya Cinta’ Yayasan UNITI, yang terkenal dengan pelbagai gerakerja amal, kini menjalin kerjasama dengan Afocus Media Ventures (AMV), produser media Islamik kontemporari, dalam menganjurkan satu inisiatif kutipan dana amal bagi menjana pelbagai aktiviti kebajikan kelolaan Yayasan UNITI, yang dinamakan Agungnya Cinta.

Antara aktiviti kebajikan yang dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif Agungnya Cinta ini termasuklah:

• Feet 4 Life
Pemberian kaki palsu percuma kepada lebih 700 OKU Asnaf di seluruh Malaysia, dengan kerjasama Uniti Waqi Sdn. Bhd. dan Kedidi Global Sdn. Bhd.

• 1 Keluarga 1 Graduan
Siri program pendidikan yang membantu memastikan sekurang-kurangnya seorang ahli daripada golongan keluarga B40 untuk layak melanjutkan pelajaran ke IPT

• Tuisyen Percuma
Program tuisyen percuma yang telah dijalankan sejak tahun 2010 untuk meringankan bebanan keluarga dengan membiayai sebahagian daripada kos pendidikan serta menjadi penggerak kepada pelajar untuk terus meningkatkan potensi diri dalam bidang akademik

• Waqaf Tunai ASEAN Mall
Pusat membeli-belah yang bukan saja membekalkan makanan halal dan keperluan penggunaan harian untuk masyarakat setempat, malah juga bertindak sebagai gerbang produk halal wilayah ASEAN
dan pelbagai lagi aktiviti yang sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa.

Sumbangan untuk inisiatif Agungnya Cinta boleh dibuat menerusi laman sesawang https://kac.amv.events/, sama ada mengikut pakej yang telah ditawarkan atau sebarang jumlah bebas mengikut kemampuan.

Konsert Agungnya Cinta (KAC2022)
Sebagai satu nilai tambah kepada inisiatif ini, sebuah konsert makan malam dengan pengisian yang dinamakan Konsert Agungnya Cinta : Menyusuri Sirah Baginda akan dianjurkan khas untuk meraikan para penyumbang.

Dalam konsert ini, riwayat hidup Rasulullah akan diceritakan semula dalam bentuk tazkirah oleh Ustaz Don Daniyal dan Imam Muda Megat Mohd Zaid, diselang-selikan dengan alunan nasyid tentang kehidupan dan perjuangan Baginda oleh kumpulan Raihan, UNIC, Mirwana serta Naim Daniel, di samping persembahan sketsa oleh Man Raja Lawak dan dendangan syair tradisi oleh Galuh Cendra Kirana.

Berikut adalah butiran konsert tersebut:

Konsert Agungnya Cinta
30 Disember 2022
8.00 – 11.30 malam
Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur

Sebagai memenuhi permintaan para peminat hiburan Islamik, konsert ini juga akan disiarkan secara langsung atas talian.